Tuesday, December 8, 2009

Ti: Strategi Umno ketepikan MCA, MIC langkah bahaya

Ti: Strategi Umno ketepikan MCA, MIC langkah bahaya

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/index.php/bahasa/45715--ti-strategi-umno-ketepikan-mca-mic-langkah-bahaya

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Dis 7 — Di sebalik masalah dalaman MCA yang berlarutan, seorang pemimpin pusat MCA menegaskan, tindakan Umno mendampingi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai saluran sendiri untuk memikat sokongan pengundi Cina dan India dalam pilihan raya umum akan datang sebagai langkah “bahaya” dan “tidak berbaloi”.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu, Ti Lian Ker dari Pahang berkata, kebelakangan ini sudah ada ura-ura yang Umno mencari saluran baru untuk mendekati dan memancing undi secara langsung pengundi-pengundi Cina dan India.

Katanya langkah itu menunjukkan Umno sudah mula mahu mengetepikan peranan MCA dan MIC sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau tindakan itu diambil kononnya Umno kurang senang dengan ketidakupayaan MCA dan MIC mengembalikan sokongan undi Cina dan India kepada BN yang menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam pilihan kecil sejak selepas pilihan raya umum ke-12.

“Ada di kalangan pemimpin Umno tidak setuju apabila Umno dipersalahkan sebagai satu sebab utama undi-undi Cina dan India yang setia pada BN meninggalkan BN.

“Keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa Umno dan BN dipersalahkan dan tuntutan dibuat supaya Umno dan BN membuat perubahan untuk mengurangkan bahang anti-BN yang memberi penumpuan dan sasaran pada Umno sebagai tunggak BN.

“Ketidaksenangan Umno terhadap kritikan ini yang menyebabkan ada di kalangan tokoh Umno bercadang bertindak balas dengan mengatur strategi dan pendekatan baru untuk mengembalikan undi pada BN,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Bekas wakil rakyat tinggal penggal itu menambah, terdapat juga ura-ura untuk berurusan secara langsung dengan pertubuhan-pertubuhan NGO Cina dan India tanpa melalui dan menghormati tradisi politik MCA dan MIC.

“Ada juga ura-ura bekerjasama dengan PAS dan mengetepikan MCA dan MIC secara total kiranya pengundi Cina dan India tetap degil.

“Namun pendekatan politik ini tidaklah sihat bagi imej negara di mata antarabangsa dan membawa padah perkembangan politik jangka masa panjang dalam negara,” katanya.

Beliau berkata Umno telah memberi perhatian kepada mana-mana pertubuhan politik dan seakan-akan merestui Parti Makkal Sakti dan Parti Progresif India (IPF) yang merupakan pecahan dari MIC.

“Ura-ura terakhir Umno ialah dengan memperkudakan NGO-NGO masyarakat Tionghua seperti Hua Zhong (Gabungan Persatuan Tionghua), 7 Da Xiang Duan, ACCIM dan lain-lain untuk mendapatkan kembali sokongan pengundi Cina kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

Kata Ti, pendekatan itu adalah bahaya dan akan menemui jalan buntu serta tidak berbaloi.

“Besar kemungkinan permainan politik ini akan dibalas dengan undi-undi protes terhadap percubaan memperkudakan NGO-NGO Tionghua yang rata-rata ‘apolitical’ dan tidak digalakkan terlibat dengan parti politik secara langsung.

“Sekiranya pemimpin-pemimpin NGO dilihat seakan-akan menggadaikan maruah pertubuhan kepada BN, ahli-ahli dan penggundi Cina akan menunjukkan protes mereka dalam peti undi secara membisu.

“Masyarakat Cina mengharapkan NGO-NGO Tionghua terus memainkan peranan mereka sebagai ‘watch-dog’ dan ‘pressure-group’ ke atas mana-mana pihak berkuasa. Kiranya ada pemimpin NGO Cina yang terlalu rapat dan seakan-akan mempunyai kepentingan diri dengan membantu politik BN, maka ada padahnya menanti,” katanya.

No comments: