Saturday, September 26, 2009

DVD skandal seks Soi Lek kembali tersebar

Utusan Online
ARKIB : 24/09/2009

DVD skandal seks Soi Lek kembali tersebar

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Salinan cakera video digital (DVD) skandal seks bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kini kembali tersebar setelah ia mula terbongkar pada awal 2008.

Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Datuk Ti Lian Ker berkata, penyebaran semula DVD itu bertujuan menimbulkan kebencian penyokong Soi Lek terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat termasuk menyalahkan beliau dalam hal itu.

"Saya berharap ahli MCA tidak terpengaruh dengan tindakan kuasa ketiga itu yang bertujuan menyebabkan 'kerosakan maksimum' kepada parti.

"Ia juga akan dan membangkitkan kemarahan mereka yang bersimpati kepada Soi Lek terhadap Tee Keat," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Minggu lalu, DVD skandal seks Soi Lek dilaporkan kembali diedar di kalangan perwakilan parti itu dan sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN).

MCA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Oktober ini bagi membahaskan isu pemecatan bekas Menteri Kesihatan itu yang diumumkan Majlis Presiden pada 26 Ogos lalu.

Menurut Lian Ker, pihak ketiga tidak patut menggunakan DVD skandal seks untuk memalukan Soi Lek lagi kerana CC telah memutuskan tindakan disiplin terhadap beliau.

"Tindakan menyebarkan kembali DVD tersebut bertujuan mengapi-apikan emosi, kemarahan serta kebencian di kalangan penyokong Soi Lek terhadap Tee Keat.

"Motif mereka membuat demikian adalah untuk menyingkirkan Tee Keat daripada parti dan merosakkan Soi Lek untuk selama-lamanya," kata beliau.

Tambah beliau, pihak ketiga tersebut juga mahu mengawal kepemimpinan MCA bagi menjalankan motif dan agenda mereka sendiri.

"Pihak ketiga tersebut telah mengambil kesempatan untuk menyingkirkan Tee Keat dan Soi Lek melalui kemelut MCA tersebut," ujar beliau.

Beliau menasihati perwakilan MCA agar berwaspada supaya tidak dimanipulasi oleh pihak ketiga berkenaan yang mahu merosakkan reputasi dan maruah MCA.

"Kami sepatutnya bergerak ke depan untuk kebaikan MCA dan menguatkan parti dalam usaha menyelesaikan kemelut parti pada masa ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, beliau bagaimanapun tidak menerima salinan DVD skandal seks Soi Lek yang mula tersebar baru-baru ini.

Beliau berkata, penyebaran DVD skandal seks merupakan salah satu strategi mempengaruhi keputusan perwakilan MCA dalam EGM yang akan datang.

"Strategi tersebut tidak akan berjaya mempengaruhi ahli MCA kerana saya yakin perwakilan MCA akan membuat keputusan yang memanfaatkan parti," katanya.

No comments: